Monday, April 13, 2009

Sumbangan Sempena Maulidur Rasul


Sempena Maulidur Rasul baru-baru ini, pihak Pemuda UMNO Putrajaya dengan berbesar hati telah memberi sumbangan berupa sejadah dan beberapa naskah Al-Quran kepada surau fasa 7, Presint 9. Sumbangan yang diberikan oleh Datuk Ahmad Zaki Zahid itu bagaimanapun disampaikan oleh wakil beliau Sdr Ahmad Faisal Abd Karim, PSU Pemuda Putrjaya dan turut disaksikan oleh beberapa AJK Pemuda UMNO Bah.Putrajaya yang lain.

Meraikan Kejayaan Exco Pemuda Msia-Calon No.38




Pada 25/3/2009 adalah merupakan satu tarikh keramat yang dinantikan oleh semua calon-calon yang bertanding dalam Exco Pemuda Malaysia. Ini kerana pada tarikh inilah keputusan akan diketahui setelah hampir 3 bulan tempoh berkempen. Bagi calon Exco Pemuda M'sia yang memegang no bertuah 38, Datuk Ahmad Zaki Zahid (Ketua Pemuda Bah.Putrajaya) juga sinonim dengan tag line "DAZZ" akhirnya telah berjaya dengan cemerlang berada di dalam kedudukan 10 calon terbaik. Syukur Alhamdulillah dengan izin Allah SWT berkat kecekalan,ketabahan dan usaha gigih yang dilakukan oleh beliau akhirnya berjaya.

Kejayaan ini turut dikongsi bersama penyokong-penyokong setia beliau yang terdiri daripada Pemuda UMNO Bah.Putrajaya.

Sunday, April 5, 2009

Siapa Pelopor Politik Kebencian?


UMNO adalah sebuah parti yang dari awal penubuhannya iltizam di dalam melaksanakan agenda Islam, sebagaimana yang termaktub di dalam Fasal 3.3 perlembagaan parti, yang bukan hanya melalui kata-kata tetapi terbukti dengan kemajuan yang dicapai oleh Negara dan rakyat dalam bidang keagamaan.

Justeru, Pas walaupun di hati kecil mengakui akan kejayaan UMNO di dalam memelihara kesucian agama Islam di Negara ini tetapi terpaksa menafikan hakikat tersebut demi kuasa dengan mengamalkan politik kebencian.

Pas tidak mempunyai cara lain untuk memperkecilkan perjuangan UMNO, melainkan menanam bibit kebencian di kalangan ahli-ahli dan penyokongnya kepada UMNO. Apabila kebencian menguasai diri, tidak ada lagi kebaikan yang dipandang dan dikenang.

Tidak ada yang lebih menimbulkan kebencian selain daripada melabelkan UMNO sebagai kafir, sekular, anti agama dan pelbagai lagi gelaran yang kesemuanya untuk menanamkan kebencian kepada UMNO dan pemimpin-pemimpinnya.

Walau baik mana sekalipun pembangunan berteraskan agama diusahakan oleh kerajaan di bawah kepimpinan UMNO, pasti akan kedengaran kata-kata yang tidak baik dan tiada penghargaan yang diberi seperti penubuhan Bank Islam yang disifatkan oleh pemimpin Pas sebagai kulit sahaja yang melambangkan Islam. Dan terbukti kini, modul perbankan Islam hasil pemikiran pemimpin UMNO menjadi ikutan dan rujukan pengamal kewangan di seluruh dunia.

Mereka yang berkelakuan seperti itu tidak peduli sama ada strategi politiknya itu sesuai atau tidak dengan Islam. Bagi mereka ‘matlamat menghalalkan cara’.

Meskipun jelas politik membenci ini bertentangan dengan Islam, tetapi inilah kaedah politik yang paling laris di kalangan Pas terutama penceramah-penceramah mereka.

Majlis-majlis ceramah sama ada ketika berkempen pilihan raya mahupun di luar waktu berkempen, akan menjadi lesu, hambar dan hilang tarikan apabila tidak bernada kecaman, fitnah dan kata nesta terhadap UMNO.

Golongan ini sentiasa mencanangkan akan perjuangan parti mereka, tetapi dalam masa yang sama mereka lupa akan amanah Allah yang diberikan kepada mereka, sebagaimana di Firman Allah Taala : Ayat 11 Surah Al-Hujurat yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim”.

Politik Pas ini menyimpang jauh daripada landasan Islam. Politik Islam mengajak umat bersatu dan melarang perpecahan, persengketaan dan perkelahian. Ini kerana perbuatan itu membawa kepada kegagalan dan kehancuran.

Selain itu, lahir pula sifat riya’, ‘ujub dan takbur di kalangan mereka yang merasakan diri mereka lebih bersih dan lebih Islam daripada orang lain, sementara perjuangan umat Islam yang tidak sealiran dengan parti mereka, dianggap sekular dan palsu.

Parti Pas yang kononnya melaung-laungkan perjuangan pembentukan Negara Islam seharusnya berkelakuan seperti muslim sejati. Mereka sepatutnya memulakan pembangunan sistem Islam dengan memperbaiki tingkah laku politik mereka supaya bersesuaian dengan ajaran Islam, meninggalkan politik maki hamun, memfitnah, mencela, mengkafirkan sesama Islam dan lain-lain perbuatan yang tidak selaras dengan tuntutan Islam.

Seharusnya, sebagai pemimpin, mereka mempengaruhi pemikiran penyokong-penyokong mereka dengan memupuk budaya yang berteraskan akhlak Islam yang baik mulia, mempengaruhi pemikiran rakyat supaya bersopan dan beradab dan bukannya dengan mengamalkan politik kebencian.

Kata -Kata Aluan Ketua Pemuda UMNO Putrajaya


Assalamualaikum kepada semua warga Pemuda UMNO Putrajaya

Alhamdulillah kerana kita telah pun mempunyai blog sendiri dan insyaallah dengan adanya blog ini kita akan dapat berinteraksi dengan lebih dekat lagi dan kita akan dapat menyampaikan segala maklumat melalui blog ini untuk memberikan penerangan dan pengumuman mengenai sebarang aktiviti dan program yang akan kita adakan. Hakikat memahami akan pentingnya ICT kepada generasi muda Pemuda Putrajaya telah mengorak langkah untuk turut terlibat dalam dunia berimformasi ini .

Seperti yang pernah dijanjikan , blog ini adalah satu permulaan bagi kita untuk memulakan langkah utama bagi mengisi ruang informasi yang lebih tepat dan pantas. Insyaallah kita aka menubuhkan unit Informasi online dalam masa yang terdekat. Blog ini akan menyampaikan maklumat terkini kepada semua warga Pemuda Putrajaya dan harapan besar agar warga Pemuda UMNO Putrajaya dapat menafaatkan laman ini dengan sebaiknya .

Agak tidak terlambat lagi bagi saya untuk mengucapkan terima kasih kepada semua warga Pemuda UMNO Putrajaya yang telah berkerja keras bagi memastikan kemenangan empat wakil Putrajaya dalam perhimpunan agung UMNO Malaysia baru-baru ini. Alhamdulillah , saya dan tiga sahabat saya sdr Tun Faizal Ismail Azizi dan Dato' Muhammad Khairun Aseh dan sdr Mohd Hisamuddin Yahya untuk mengisi tiga tempat EXCO Pemuda UMNO Malaysia. Saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi tahniah kepada ketiga - tiga sahabat saya yang telah berjaya menduduki kerusi EXCO Pemuda UMNO Malaysia.

Saya juga berharap agar warga pemuda Putrajaya dapat memberikan sumbangan berita dan juga pendapat untuk dikongsi bersama seluruh warga Pemuda UMNO Putrajaya,

Sekian Terima Kasih

Assalamualaikum

Yang menjalankan tugas

Datuk Ahmad Zaki Zahid
Ketua Pemuda UMNO Putrajaya






Dr M sertai UMNO semula


PUTRAJAYA 4 April – Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini kembali menyertai UMNO setelah hampir setahun meninggalkan parti tersebut.

Bekas Presiden UMNO itu bersama isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali menyerahkan borang keahlian yang kekal bernombor 001 dan 002 kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu majlis ringkas tetapi penuh bermakna di Sri Satria di sini.

Bercakap kepada pemberita, Dr. Mahathir, 84, melahirkan rasa gembira kerana dapat kembali dan diterima semula oleh UMNO.

‘‘Walaupun saya berada di luar UMNO tetapi dalam hati saya masih orang UMNO. Walaupun saya tegur UMNO, saya fikir teguran itu adalah untuk membina UMNO, bukannya untuk menghancurkan UMNO.

‘‘Oleh itu saya berharap yang keluar UMNO sama dengan saya akan kembali semula dan harap parti akan menerima mereka,” katanya.

Hadir sama isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor.

Pada majlis itu juga, anak Dr. Mahathir iaitu Datuk Mokhzani turut mengambil langkah sama menyertai semula UMNO.

Dr. Mahathir mengisytiharkan keluar daripada UMNO dalam satu ceramah di Alor Setar pada 19 Mei tahun lalu kerana hilang keyakinan terhadap parti itu.

Pada sidang akhbar yang dihadiri puluhan wartawan tempatan dan media asing tersebut, bekas Perdana Menteri itu secara berseloroh tidak menafikan penyertaan semula beliau ke dalam UMNO hari ini mirip perkara sama 40 tahun lepas ketika parti itu di bawah kepimpinan Allahyarham Tun Razak Hussein.

‘‘Satu pakatan kekeluargaan yang tidak sengaja tetapi benarlah, saya dapat masuk balik UMNO dahulu pun kerana Tun Razak yang menerima saya dan kali ini, anaknya yang terima saya.

‘‘Mengenai jawatan (dalam UMNO atau kerajaan), tak payahlah tetapi kalau nak kerjasama, saya bila-bila masa bersedia untuk memulihkan semula parti kerana saya dipercayai oleh rakyat,” katanya.

Serentak itu, Dr. Mahathir menyatakan kesediaannya untuk membantu UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau serta Batang Air.

Ini kerana, kata beliau, adalah menjadi tanggungjawabnya sebagai ahli UMNO untuk terus membantu parti dan BN termasuk berkempen pada pilihan raya walaupun telah bersara.

‘‘Saya tidak suka kalau dah bersara ini, kita pisah diri sama sekali dengan UMNO kerana saya naik pun kerana UMNO.

‘‘Dari dulu pun, saya menawarkan diri untuk berkempen jika diperlukan dan hari ini nampaknya saya diminta untuk berkempen. Saya sudah bersedia kerana ia adalah parti saya,” katanya.

Ditanya adakah beliau akan meneruskan sikap kritikalnya terhadap UMNO sebagaimana sebelum ini, Dr. Mahathir berkata, sikap demikian berlaku apabila ‘kesilapan dilakukan’.

‘‘Jika tidak, saya rasa tidak perlu jadi kritikal dan saya rasa Datuk Seri Najib tidak akan terkeluar dari landasan (corak kepimpinan) yang telah ditetapkan oleh bapanya dan bukan oleh saya,” katanya.