Saturday, August 22, 2009

Seminar Kecemerlangan & Motivasi UPSR 2009







Atas keprihatinan Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya, Biro Pelajaran Pemuda UMNO Putrajaya telah menganjurkan Program Motivasi & Kecemerlangan UPSR pada 8&9hb Ogos 2009. Program ini telah diadakan di Auditorium Parcel E berhampiran dengan Kementerian Pengajian Tinggi, Parcel E, Putrajaya. Pengerusi Biro Pelajaran Pemuda UMNO Putrajaya, Sdr.Nazarul Hisham Sabardin telah berjaya memberi pendedahan serta semangat baru kepada adik-adik yang bakal menghadapi Peperiksaan UPSR bagi tahun 2009. Program ini juga turut menjemput beberapa orang anak yatim dari rumah kebajikan sekitar kawasan Bangi selain para pelajar dari sekolah-sekolah putrajaya.

Untuk memastikan program ini benar-benar mendapat sambutan dikalangan para pelajar dan ibubapa serta yang paling penting ialah pengisian, teknik-teknik menjawab soalan peperiksaan dan keberkesanan program ini terhadap para pelajar, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya, Y.Bhg Datuk Ahmad Zaki Zahid telah memanggil seorang pakar Motivasi yang terkenal iaitu Dr.Ismail Zin yang sememangnya amat terkenal dalam membantu masalah-masalah yang sering dialami oleh para pelajar terutama ketika menghadapi peperiksaan. Objektif utama program ini adalah untuk mempelajari strategi menjawab soalan peperiksaan dengan berkesan serta memberi motivasi kepada para pelajar dalam menghadapi peperiksaan.

Program yang berlangsung selama 2 hari ini sedikit sebanyak dapat membantu para pelajar terutamanya dikalangan anak-anak warga Putrajaya bagi memastikan pencapaian akademik mereka sentiasa berada pada tahap yang baik. Bukan sahaja di peringkat Pemuda UMNO Putrjaya, malahan atas keprihatinan ini juga Ahli Parlimen Putrajaya, YBM Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansur turut hadir bagi upacara penutupan majlis ini. Kesibukan beliau tidak menghalang beliau untuk hadir sebagai memberi sokongan kepada semua yang terlibat dalam program ini. Pihak Pemuda UMNO Putrajaya berasa amat bertuah diatas kesudian beliau hadir pada program ini. Setinggi penghargaan diucapkan kepada warga kerja yang terlibat.