Tuesday, December 15, 2009

Aktiviti mewarna satukan penduduk Putrajaya

PUTRAJAYA- Pergerakan Pemuda UMNO Putrajaya menganjurkan pertandingan mewarna di setiap Presint secara berperingkat dalam usaha mengukuhkan lagi hubungan kemasyarakatan penduduk Putrajaya.
Pertandingan ini dikategorikan dalam dua kategori iaitu Kategori A untuk kanak-kanak berumur 4 hingga 7 tahun, manakala kategori B pula untuk kanak-kanak berumur 8 hingga 12 tahun.
Setiap pemenang pertama dalam kategori masing-masing akan dikumpulkan dan dipertandingkan di peringkat Bahagian UMNO Putrajaya.
Jurucakap program, Mohd Zushaidey Zulkifli yang juga mewakili pemuda cawangan berkata, pemuda tidak pernah lupa untuk melaksanakantanggungjawab di peringkat akar umbi.
Katanya, pertandingan tersebut dibuat sebagai menyahut saranan Ketua Pemuda UMNO Putrajaya, Datuk Ahmad Zaki Zahid agar mendekati komuniti Putrajaya yang sentiasa sibuk dengan urusan kerja seharian masing-masing, melalui satu aktiviti khas yang melibatkan golongan ibubapa dan kanak-kanak.
"Dengan adanya aktiviti sebegini, kita dapat lihat setiap ibubapa dapat turut serta dan memberi sokongan moral kepada anak mereka dalam pertandingan ini.
Dari satu sudut lain pula, saya dapat melihat setiap ibubapa dapat meluangkan masa yang bernilai bersama anak mereka memandangkan kebanyakan mereka agak sibuk pada hari kebiasaannya,"katanya.
(sumber Akhbar Sinar Harian, Selasa 15hb Dis 09, m/surat 22)