Wednesday, September 12, 2012

Rakyat saman MB Selangor??

Seramai 711 pengguna air di Selangor memfailkan saman terhadap tiga pihak bagi mendapatkan tunggakan subsidi air berjumlah RM405,270 di bawah skim air percuma yang dijanjikan kerajaan Pakatan Ra
kyat pada Pilihan Raya Umum Ke-12. Tiga pihak yang dinamakan sebagai defendan itu ialah kerajaan negeri Selangor selaku defendan pertama; Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar kecil) (defendan kedua) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) sebagai defendan ketiga. Seorang penduduk Pangsapuri Seksyen 7, di sini, Sahari Basri, 65, selaku plaintif bersama 710 pengguna air di negeri itu, memfailkan tuntutan di kaunter Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui Tetuan Kamarudin & Partners. Kira-kira 100 pengguna air, ahli-ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) hadir mengiringi pengguna air di negeri itu dan peguam, Kamarudin Ahmad.
 Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa, semasa tempoh berkempen untuk pilihan raya pada Mac 2008, defendan pertama telah berjanji kepada rakyat di negeri itu untuk memberikan air percuma untuk 20 meter padu pertama setiap bulan kepada pengguna domestik sekiranya defendan pertama menang pilihan raya tersebut. berdasarkan manifesto defendan pertama tersebut, setiap pengguna air domestik di negeri itu yang mempunyai akaun bekalan air dengan defendan ketiga layak menerima subsidi sebanyak RM11.40 sebulan, tidak kira sama ada pengguna menggunakan meter air individu atau pukal.