Thursday, November 8, 2012

Sultan Selangor Kesal Dengan @n_izzah@Khalid_Ibrahim


Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa terkejut dan kesal dengan kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar, bahawa orang Melayu Islam bebas memilih agama di bawah faktor kebebasan beragama.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, baginda juga menolak sama sekali sebarang pandangan daripada mana-mana pihak bahawa orang Melayu beragama Islam mempunyai kebebasan untuk memilih agama lain dan keluar agama Islam.

"Sebagai penasihat kepada Sultan Selangor, MAIS akan terus bertegas dalam membantu baginda untuk bersikap waspada, peka dan tegas terhadap mana-mana pihak yang sama ada secara langsung atau tidak langsung mencabar kemurnian agama Islam baik dari segi fahaman mahupun amalan, khususnya di Selangor," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan portal berita pro pembangkang yang memetik Nurul Izzah pada forum "Negara Islam: Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab" di Subang Jaya, Sabtu lepas, berkata setiap rakyat di negara ini tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama-agama tertentu.

Bagaimanapun, selepas dikritik pelbagai pihak, Nurul Izzah mengeluarkan kenyataan di dalam laman sosial Facebook-nya menafikan bahawa beliau menyokong gejala murtad.

Mohamad Adzib berkata pihaknya khuatir kenyataan seperti itu boleh mengelirukan dan mempengaruhi orang Melayu beragama Islam dalam negeri Selangor berikutan ia dikeluarkan oleh seorang pemimpin kanan parti komponen pakatan pembangkang yang mentadbir negeri itu.

Beliau menegaskan bahawa berdasarkan ajaran Islam, kebebasan beragama hanya terpakai kepada orang bukan Islam yang mana mereka bebas untuk memeluk agama Islam atas kesedaran dan kemahuan diri mereka sendiri serta tanpa sebarang paksaan.

"Bagaimanapun, setelah memeluk agama Islam, mereka tidak boleh dengan bebas memilih agama lain dan keluar dari agama Islam. Perkara sama terpakai kepada orang Melayu yang beragama Islam di mana orang Melayu juga tidak boleh dengan bebas memilih agama lain dan keluar dari agama Islam kerana mereka semua perlu mematuhi semua ajaran agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W," katanya.

Mohamad Adzib berkata Islam juga adalah syarat yang menentukan status sebagai seorang Melayu seperti yang diperuntuk dalam Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, beliau berkata pemikiran liberalisme atau pluralisme amat bahaya kerana akan menghakis hak kedudukan dan keistimewaan orang Melayu yang sedia termaktub dalam Perlembagaan dan undang-undang sedia ada.

"Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor juga menitahkan soal-soal berkaitan agama Islam jangan dipolemikkan dan dijadikan modal politik untuk kepentingan pihak tertentu kerana boleh mengelirukan dan memesongkan fahaman umat Islam berkaitan agama Islam.

"MAIS bertegas bahawa apa-apa pun agenda mahupun tindakan berorientasi politik tidak boleh sekali-kali menggadai kedudukan, kefahaman dan pelaksanaan Islam di negeri Selangor khususnya dan Malaysia amnya. Walau apapun, MAIS mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membuat siasatan untuk tindakan sewajarnya," katanya.