Wednesday, January 2, 2013

Tunggu 100 Tahun Atasi Isu Air?@umbkl@Khalid_Ibrahim

Kebodohan MB-rakyat derita


Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikecam oleh seorang pemimpin persatuan pengguna negeri ini ekoran kenyataannya baru-baru ini bahawa beliau (Khalid) sanggup menunggu sehingga 100 tahun untuk menyelesaikan isu air walaupun Selangor diancam krisis bekalan air menjelang 2015.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George, berkata kenyataan Khalid itu “tidak profesional” dan mengesahkan beliau mahu satu ‘perang politik’ di antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat berhubung isu air.

“Sebagai menteri besar, beliau harus lebih sensitif kerana yang menanggung kedukaan dan kelukaan daripada masalah air ialah pengguna di Selangor sendiri,” katanya dalam satu temubual.

Dr George berkata apa yang terjadi ekoran pendirian yang diambil oleh Khalid berhubung isu air ialah “gajah berlawan dengan gajah tetapi pelanduk yang mati di tengah-tengah”, iaitu rakyat, pengguna negeri Selangor dengan masalah pemotongan air dilaporkan di beberapa kawasan ekoran kekurangan bekalan.

Sebagai contoh, minggu lepas, beberapa kawasan di sekitar Pandan Perdana, Pandan Indah, Taman Taynton View dan Taman Bukit Segar di Cheras mengalami gangguan bekalan air berikutan penurunan paras kolam utama yang dikesan sejak awal minggu.

Menurut Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), ia berpunca daripada permintaan bekalan air yang meningkat mendadak sejak kebelakangan ini dan melibatkan lebih 9,000 pengguna.

“Sebelum mereka datang memerintah negeri ini, mereka buat banyak kenyataan bahawa mereka nak mesra rakyat dan sebagainya. Tetapi dari 2008 sampai sekarang kita nampak sudah ada satu penukaran fikiran dalam cara mereka membuat kerja dan lakukan tanggungjawab.

“Mereka dah jadi tidak sensitif lagi, mereka ingat sudah berkuasa, boleh buat apa-apa (sahaja), tak payah dengar (suara rakyat). Ini mendukacitakan bila mereka keluar kenyataan iaitu 100 tahun pun mereka akan melengah-lengahkan walaupun mereka tahu pada tahun 2015 kita akan berhadapan dengan masalah bekalan air yang begitu besar,” katanya.

Beliau berkata kekurangan bekalan air di Selangor bukan sahaja berpunca daripada permintaan pengguna biasa tetapi lebih kepada industri-industri, projek-projek perumahan yang tumbuh seperti cendawan yang mengakibatkan pertambahan jumlah penduduk dengan mendadak.

Menurut Dr George, beliau perhatikan setiap kali pihak seperti kerajaan pusat berbincang atau melaksanakan langkah-langkah mengatasi isu air di Selangor, kerajaan negeri akan membawa masuk isu-isu baru yang tidak ada kaitan dengan isu-isu asal.

Beliau berkata, kerajaan pusat sudah membuka banyak ruang kepada kerajaan Selangor sama ada secara langsung atau tidak langsung, termasuk sedia membantu dari segi kawangan dan teknikal dan malah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pun setuju untuk turun padang.