Sunday, June 9, 2013

TERKINI: @ABNxcess bakal saingi ASTRO & Unifi?



Berita baik buat rakyat Malaysia.  Satu lagi syarikat televisyen kabel bakal memberi pilihan kepada pengguna semua dan memberi saingan yang lebih sihat dalam industri ini.  Tahniah atas kelahiran ABNxcess!

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penyertaan syarikat televisyen kabel digital, ABNxcess ke dalam pasaran mampu merapatkan jurang digital dalam kalangan masyarakat.

Malah Perdana Menteri berkata, langkah diambil oleh syarikat itu mampu membantu kerajaan mencapai matlamat sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

"Saya difahamkan syarikat ABNxcess ini turut menawarkan internet berkelajuan tinggi bersama pakej perkhidmatan televisyen kabel pada harga yang sangat kompetitif.

"Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada ABNxcess pada penampilan sulung yang menakjubkan ini," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran syarikat televisyen kabel digital, ABNxcess di Stadium Putra Bukit Jalil di sini malam ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam; Pengerusi Eksekutif Asian Broadcasting Network (ABN) Sdn. Bhd, Tan Sri K. K. Eswaran dan Pengerusi ABN, Laksamana (B) Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor.

Pakej yang ditawarkan oleh ABNxcess merangkumi lebih 60 siaran televisyen serta internet berkelajuan tinggi (10 Mbps) dan termasuk juga tujuh siaran radio.

Perdana Menteri berkata, adalah diharapkan dengan penyertaan syarikat seperti ABNxcess akan wujud persaingan yang lebih sihat dalam industri multimedia di negara ini.

Selain itu, Najib turut menyentuh mengenai bidang pembangunan kandungan yang seharusnya diberikan tumpuan oleh syarikat ABNxcess.

Beliau berkata, dengan adanya tumpuan terhadap bidang itu secara langsung boleh memberi peluang kepada rakyat Malaysia yang berbakat mengembangkan kreativiti mereka melalui platform ABNxcess.

"Malaysia mempunyai begitu ramai anak-anak muda yang berbakat. Saya yakin ABNxcess mampu menyediakan pentas untuk mereka mengembangkan bakat kreatif mereka.

"Saya juga percaya dengan adanya kandungan yang bermutu hasil daripada sumbangan kreativiti anak-anak muda Malaysia banyak siaran negara kita boleh dipasar di peringkat antarabangsa," katanya lagi.

Sementara itu harga yang ditawarkan bagi televisyen kabel sahaja (50 siaran televisyen dan 10 siaran HD) ialah RM29.90 sebulan; untuk internet berkelajuan tinggi (10 Mbps), RM129 sebulan serta bagi pakej ialah RM158.99.