Thursday, June 20, 2013

TERKINI: Mungkinkah Notis Mesyuarat UMNO guna kaedah baru? Apa komen anda?



Notis mesyuarat UMNO peringkat cawangan dan bahagian di seluruh negara tahun ini bakal menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laman sosial, kata Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Abd. Rauf Yusoh.

Menurutnya, selain SMS, kaedah lain yang akan digunakan ialah melalui Facebook dan Twitter, di samping banting serta e-mel.

''Cadangan ini akan dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada tempoh terdekat ini kerana kaedah baharu ini boleh diterima dan digunapakai ketika memaklumkan notis mesyuarat peringkat cawangan dan bahagian.
''Daripada maklum balas yang diterima di peringkat akar umbi, kaedah baharu ini diperkenalkan agar bersesuaian dengan suasana ketika ini.

''Mereka mahu kaedah penyebaran maklumat melalui SMS serta laman sosial seperti Facebook dan Twitter boleh digunapakai untuk pemberitahuan notis mesyuarat seperti mana penghantaran surat sejak 67 tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Taklimat Prosedur dan Kaedah Pemilihan UMNO 2013 di Dewan Tun Ali di sini hari ini.

Taklimat tertutup itu diadakan bagi memperjelaskan kepada ahli dan pemimpin UMNO di semua peringkat tentang kaedah baharu proses pemilihan parti tahun ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Tan Sri Tajol Rosli Mohd. Ghazali; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Ketua Menteri, Datuk Idris Haron dan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO negeri, Datuk Othman Mohamad.

Mesyuarat cawangan akan bermula dari 15 Julai hingga 31 Ogos ini.

Abd. Rauf berkata, cadangan untuk menggunakan kaedah baharu itu sebagai notis mesyuarat cawangan dan bahagian dilihat bersesuaian dengan zaman siber.

Beliau menambah, ibu pejabat UMNO menerima banyak pandangan tentang kaedah tersebut termasuk enam program jelajah yang diadakan oleh Jawatankuasa Pemilihan UMNO setakat ini.

''Rata-rata pandangan yang diterima bersetuju agar kaedah baharu pemberitahuan notis mesyuarat tersebut digunakan seiring dengan penghantaran surat yang digunapakai sejak 67 tahun lalu," katanya.

Beliau berkata, notis melalui surat adalah kaedah wajib yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO untuk terus digunakan dan disokong dengan kaedah baharu melalui SMS, laman sosial, banting dan e-mel.

Dalam pada itu, Abd. Rauf berkata, setakat ini seluruh ahli dan pemimpin UMNO di enam negeri memberikan sambutan menggalakkan tentang kaedah baharu proses pemilihan di peringkat cawangan, bahagian dan pucuk pimpinan tertinggi parti hujung tahun ini.

Setakat ini, jawatankuasa terbabit telah menjelajah ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka menjadi negeri keenam.